Rabu, 3 April 2013

Nagari Nan Sembilan



Adapun perkataan “Negeri” di pangkal perkataan “Negeri Sembilan” sebenarnya membawa makna berbeza mengikut konteks pemakaiannya. Jika di zaman sekarang di sebut “ Negeri”, ramai yang memahaminya sebagai sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia umpamanya Negeri Johor, Negeri Melaka dan sebagainya. Namun jika dilihat sejarahnya, perkataan “Negeri” berasal dari dialek Minangkabau yang biasa di sebut menurut pelat mereka sebagai “ Nagari”.


“ Nagari” membawa maksud kawasan yang luasnya hanya sebesar luas Mukim ,Luak atau kampung. Jika di rujuk struktur susunan kawasan dan pendaerahan di Indonesia, yang biasa di sebut Negeri di sini di sebut sebagai Propinsi, Daerah disini di panggil Kabupatien dan di bawah Kabupatien itulah di panggil nagari.



Oleh itu untuk memahami erti sebenar Negeri Sembilan, tidak boleh ianya di ambil contoh sebagai sebuah negeri di Malaysia tetapi ia adalah sebenarnya percantuman sembilan buah Mukim atau Luak yang pada masa dahulu di ertikan sebagai percantuman Sembilan buah Nagari. Dalam erti kata lain Negeri Sembilan adalah sebuah kawasan yang terdiri dari gabungan atau percantuman sembilan buah mukim atau luak.

Mengikut sejarahnya menjelang tahun 1773, penghulu – penghulu sebagai ketua mukim atau luak masing-masing telah bersepakat untuk bercantum menjadi gabungan yang lebih besar yang di beri gelar “Nagari Sembilan” dan mereka memerlukan seorang raja bagi memerintah gabungan kawasan ini. Pada masa itu sembilan buah “nagari” yang bergabung adalah:-

1. Sungai Ujong
2. Jelebu.
3. Johol
4. Rembau
5. Inas
6. Kelang
7. Naning
8. Segamat/Pasir Besar
9. Kenaboi (Ulu Pahang)

Namun dalam tahun-tahun 1780an ,perkembangan baru telah muncul yang menyebabkan ahli gabungan ini terpisah. Belanda telah mengambil alih Mukim Naning, Bugis yang berkuasa di Selangor telah mengambil mukim Kelang, Segamat telah diambilalih oleh Kesultanan Johor manakala Ulu Pahang telah diambil alih oleh Kesultanan Pahang. Maka tinggallah empat Luak yang masih bersama dalam persepakatan Negeri Sembilan iaitu Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Rembau dan Luak Johol .

Bagi mengekalkan gabungan dan percantuman ini, nagari-nagari yang lebih kecil seperti Inas, Ulu Muar,Jempol, Terachi dan Gunung Pasir yang sebelum ini terlingkung di bawah nama Tanah Mengandong (iaitu tempat pemerintahan Yam Tuan) di bawa masuk dalam gabungan tersebut. Gabungan ini kekal hingga sekarang dan telahpun di kanunkan dalam perlembagaan negeri .

Negeri Sembilan mengikut penceritaan orang tua-tua telah dibuka sebelum Melaka di buka oleh Parameswara. Kawasan yang mula-mula di buka adalah Sungai Ujong. Dalam Hikayat Melayu ada di sebut tentang seorang Raja Melayu beragama Hindu (Parameswara) lari dari Temasik kerana diburu oleh tentera Majapahit ,mudik ke Muar lalu sampai ke Sungai Ujong. Di sana beliau telah meninggalkan seorang menteri untuk membuka dan memerintah di sana manakala beliau meneruskan perjalanan beliau ke sungai Bertam dan membuka negeri di situ yang di namakan Melaka.

Pada masa itu, Negeri Sembilan di huni oleh penduduk-penduduk orang asli Semang dan Jakun. Mengikut sejarah, Negeri Sembilan telah mula di datangi beramai-ramai dalam kurun ke 14 Masihi semasa Sultan Mansor Syah memerintah Melaka. Bukti ini dapat dilihat dari catatan di atas batu nesan seorang yang bernama Syeikh Ahmad yang meninggal dunia pada 1467 Masihi (yang masih boleh dilihat di Sungai Udang,Linggi, Port Dickson.)

Kebanyakan yang berhijrah ini datangnya dari Pagar Ruyong, Sumatera. Mereka belayar menyeberangi Selat Melaka naik di Kuala Sungai Linggi, Melaka dan Kelang. Mereka yang naik melalui Sungai Linggi telah membuka petempatan di Rembau, Sungai Ujong dan Seri Menanti. Mereka yang naik melalui Melaka telah membuka petempatan di Naning, Johol dan Kuala Pilah.

Orang –orang Minangkabau dari Pagar Ruyong yang tiba ini, datang meneroka kawasan dan dengan mudah dapat mengambil hati orang asli yang memang sejak dulu mendiami kawasan –kawasan ini. Mereka pun mula bercampur dan ada yang bernikah kahwin dengan orang asli. Dari perkahwinan ini wujudlah Suku Biduanda yang mewarisi pesaka Dato’ Undang Luak Berempat sekarang ini. Suku-suku lain tidak berhak untuk mewarisi takhta Undang kerana suku-suku lain adalah orang-orang baru yang mendatang dan bukan keturunan penduduk pertama atau asal di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan purbakala adalah dibawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, Raja Melaka telah lari ke Johor dan telah menubuhkan Kerajaan di sana. Oleh itu kawasan  Negeri Sembilan kemudiannya diletakkan dibawah pemerintahan Kesultanan Johor .

Disusun oleh Allahyarham Tan Sri Abd Samad bin Hj Idris dengan olahan semula

SUMBER

Tiada ulasan: